Isnin, 18 March 2019 | 6:16pm
Gambar fail ahli K-pop, BIGBANG, Seungri tiba di Ibu Pejabat Polis Seoul untuk disoal siasat. - Foto AFP

Waran tangkap untuk bintang K-pop

SEOUL: Polis Korea Selatan hari ini memohon waran tangkap bagi bintang K-pop yang dituduh merakamkan dan mengedarkan video seks dalam skandal yang menggegarkan industri muzik negara itu.

Penyanyi dan penggubah lagu, Jung Joon-young, minggu lalu mengaku merakamkan beliau mengadakan hubungan seks dan berkongsi rakaman itu tanpa kebenaran pasangannya.

Video mengandungi sekurang-kurangnya 10 wanita itu dikongsi menerusi ruang bual telefon bimbit pada 2015 dengan penerima termasuk anggota kumpulan BIGBANG, Seungri.

Selepas membuka siasatan, polis Seoul hari ini berkata pihak mereka memohon waran tangkap untuk Jung atas tuduhan kesalahan seksual menggunakan kamera, lapor agensi berita Yonhap.

Polis turut memohon waran tangkap untuk seorang lagi lelaki, kakitangan kelab malam yang menjadi sebahagian anggota ruang sembang dengan Jung, kerana berkongsi video seks.

Pemuzik berusia 30 tahun berkenaan mengumumkan persaraan daripada bidang hiburan minggu lalu dan skandal berkenaan menyaksikan dua lagi penyanyi bersara selepas mengaku menonton video itu.

Korea Selatan berhadapan wabak yang semakin menular, ‘molka’ atau video kamera intipan, kebanyakannya wanita, yang dirakamkan secara rahsia oleh lelaki di sekolah, tandas dan pejabat.

Ribuan wanita mengadakan tunjuk perasaan di Seoul tahun lalu membantah video berkenaan sebagai sebahagian pergerakan #MeToo. — AFP

Berita Harian X