Sabtu, 16 March 2019 | 12:59pm
MUCAD Ibrahim.
MUCAD Ibrahim.

Keluarga kanak-kanak hilang rayu maklumat mengenai mangsa

CHRISTCHURCH : Keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang hilang selepas pembunuhan beramai-ramai di sini merayu orang ramai memberikan maklumat mengenai anak mereka.

Mucad Ibrahim mengikuti bapa dan abangnya, Abdi Ibrahim ke masjid di Deans Avenue di Christchurch apabila pembunuhan itu berlaku.

Kanak-kanak itu berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian manakala bapa dan abangnya berpura-pura mati untuk menyelamatkan diri.

Abdi memberitahu, Mucad tidak kelihatan sejak kejadian itu dan seluruh keluarganya khuatir dengan keselamatan kanak-kanak terbabit.

“Saya cuba keluar dari masjid berkenaan seberapa pantas yang boleh dan tidak pernah merasa setakut itu selama ini. Kami semua bergegas ke hospital kerana menyangkakan semua rakan kami berada di situ,” katanya.

Perdana Menteri Jacinca Ardern menyifatkan serangan terbabit sebagai antara ‘hari paling hitam untuk New Zealand’.

Semua jemaah sedang menunaikan solat Jumaat apabila suspek, Brenton Tarrant, 28 mula melepaskan tembakan.

Dia juga menyiarkan serangan itu secara langsung di media sosial dan turut menayangkan manifesto pembunuhan setebal 74 halaman selain mendakwa, mendapat inspirasi dari pembunuhan beramai-ramai oleh Anders Breivik di Norway.

Antara mangsa dilaporkan hilang dan dikhuatiri sudah meninggal dunia ialah Hussain, anak kepada pasangan Janna Ezat dan Hazim Al Umari.

Pekerja pelancongan berusia 36 tahun itu adalah jemaah tetap di masjid Deans Avenue tetapi tiada berita diketahui mengenai lelaki berkenaan sejak semalam. - Agensi

Berita Harian X