Isnin, 11 March 2019 | 8:31pm
BINTANG pop Korea Selatan, Seungri. - Foto AFP

Bintang K-pop umum bersara susulan dakwaan 'bapa ayam'

SEOUL: Bintang pop Korea Selatan, Seungri, hari ini mengumumkan bersara daripada bidang hiburan susulan siasatan jenayah ke atasnya termasuk dakwaan pembabitan beliau dalam skandal seks.

Penyanyi kumpulan BIGBANG berusia 29 tahun itu dituduh melobi bakal pelabur dengan menawarkan perkhidmatan seks di beberapa kelab malam di kawasan mewah Gangnam di Seoul.

Beliau berhadapan soal siasat polis hujung minggu lalu.

“Lebih baik bagi saya bersara daripada bidang hiburan pada masa ini.

“Saya mengambil serius siasatan ini untuk membersihkan semua dakwaan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di akaun Instagram.

Penyanyi itu, yang memiliki francais perniagaan restoran global, menggantung kerjaya hiburannya Februari lalu dan membatalkan konsert yang dijadualkan lewat bulan ini.

“Saya berhadapan kritikan teruk daripada orang awam sejak sebulan setengah lalu dan disiasat oleh semua pihak berkuasa di negara ini.

“Saya dilabel sebagai ‘pengkhianat negara’ dan tidak dapat menerima hakikat saya menjejaskan orang lain demi kepentingan diri,” tambahnya.

BIGBANG adalah antara kumpulan penyanyi lelaki paling popular Korea Selatan, menjual lebih 140 juta rekod di seluruh dunia sejak penampilan pertama pada 2006. — AFP

Berita Harian X