Isnin, 11 March 2019 | 1:01pm
Gambar fail yang diambil pada 3 Mac 2013 menunjukkan ahli boyband Korea Selatan yang terkenal Big Bang, Seungri tiba di lapangan terbang utama negara itu selepas menamatkan persembahan kumpulan di China.- Foto AFP
Gambar fail yang diambil pada 3 Mac 2013 menunjukkan ahli boyband Korea Selatan yang terkenal Big Bang, Seungri tiba di lapangan terbang utama negara itu selepas menamatkan persembahan kumpulan di China.- Foto AFP

Anggota Big Bang didakwa 'bapa ayam'

SEOUL: Seorang anggota kumpulan K-pop, Big Bang, yang terkenal dengan nama pentas Seungri, didakwa kerana menyediakan pelacur untuk pelabur asing di kelab peribadi miliknya, lapor media tempatan.

Dakwaan itu menyebabkan saham Agensi YG Entertainment Inc, milik penyanyi itu, menjunam sehingga 14 peratus.

YG Entertainment satu daripada tiga agensi pencarian bakat terbesar K-pop berkata, mereka maklum bahawa penyanyi itu sudah didakwa, bagaimanapun mereka tidak memberikan sebarang komen terkini berhubung dakwaan itu.

Saham YG Entertainment dikatakan menurun sebanyak 14.2 peratus, tahap terendah sejak November 2018.

Pihak polis tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas terkini.

Penyanyi berusia 28 tahun atau namanya sebenar Lee Seung-hyun turut gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen, hari ini.

Tuduhan itu dinafikan Seungri bulan lalu, apabila media tempatan melaporkan pembabitan penyanyi itu dengan ‘rasuah seks’.

Sebaik saja laporan media itu dikeluarkan, saham YG Entertainment terus menjunam sehingga 21.9 peratus.

Sehubungan itu, susulan laporan media pada Februari lalu, YG Entertainment menafikannya dengan mengatakan ia adalah laporan palsu dalam satu kenyataan.

Agensi itu tetap mengekalkan pendirian mereka hari ini. Skandal itu berlaku menjelang penyertaan Seungri dalam perkhidmatan ketenteraan.

Menurut agensi itu, penyanyi itu dijangka menyertai tentera pada bulan ini untuk memenuhi tugas ketenteraannya. - Reuters

Berita Harian X