Ahad, 3 March 2019 | 1:33am

20 maut banjir kilat di Afghanistan

KABUL: Sekurang-kurangnya 20 orang termasuk kanak-kanak terkorban di selatan Afghanistan, semalam, akibat banjir kilat yang menenggelamkan sehingga 2,000 kediaman dan menghanyutkan banyak kenderaan.

Menurut kenyataan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hujan lebat melanda bandar Kandahar dan enam daerah, kelmarin.

Beberapa pegawai Afghanistan berkata, ratusan rumah di wilayah Herat musnah akibat banjir kilat.

Keluarga yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke beberapa kawasan selamat di daerah terbabit dan bandar Kandahar termasuk sekolah, masjid dan bangunan kerajaan.

Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk kanak-kanak hilang di daerah Arghandab, Damam, Spin Boldak dan Dand.

OCHA berkata, sejumlah besar keluarga nomad Kocha kira-kira 500 orang terperangkap di tebing sungai dan mereka memerlukan sokongan udara untuk menyelamatkan mangsa. - Reuters

Berita Harian X