Jumaat, 1 March 2019 | 10:10pm

84 maut pelarian maut di Syria - PBB

GENEVA: Sekurang-kurangnya 84 orang dilaporkan maut semasa dalam perjalanan menuju kem al-Hol di timur laut Syria sejak Disember lalu selepas melarikan diri daripada kumpulan militan Daesh di wilayah Deir al-Zor, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Ia susulan tindakan Pasukan Demokratik Syria (SDF) disokong Amerika Syarikat (AS) yang beberapa minggu melancarkan pertempuran sengit bagi membebaskan kubu terakhir Daesh di perkampungan Baghouz yang terletak berhampiran sempadan Iraq.

Jurucakap pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke berkata, PBB ‘sangat prihatin’ mengenai nasib ribuan penduduk awam yang melarikan diri dari kubu terakhir Daesh di perkampungan Baghouz di wilayah Deir al-Zor selepas pertempuran sengit itu.

Katanya, kem al-Hol yang terletak di wilayah timur laut Hasaka, didiami sekurang-kurangnya 45,000 orang termasuk 1,300 orang yang melarikan diri dari wilayah Deir al-Zor minggu lalu.

“Ramai daripada mereka yang tiba mengalami keletihan, lapar dan sakit,” katanya sambil menambah dua pertiga yang maut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

“Mereka melakukan perjalanan sangat jauh dan meletihkan, setakat ini kami menerima laporan lebih 84 orang meninggal dunia atas jalan dan di wilayah itu.,” tambah Laerke. -Reuters.

Berita Harian X