Jumaat, 1 March 2019 | 7:15am
Penumpang ke Eropah terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok. -Foto Agensi
Penumpang ke Eropah terkandas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok. -Foto Agensi

Pakistan tutup ruang udara sehingga 1 tengah hari

LONDON: Ribuan pelancong di seluruh dunia terkandas semalam selepas Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan meningkat dengan India.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan (CAA) berkata, ia akan menutup ruang udaranya sehingga jam 1 tengah hari waktu tempatan hari ini (0800 GMT), menjejaskan laluan utama antara Eropah dan Tenggara Asia.

Syarikat penerbangan Thai Airways membatalkan hampir 30 penerbangan, menjejaskan 5,000 penumpang.

“Semua penerbangan Thai Airways dari Bangkok ke Eropah berlepas hampir tengah malam 27 Februari sehingga 28 Februari, dari Eropah ke Bangkok berlepas pada 27 Februari, dibatalkan berikutan penutupan ruang udara Pakistan,” tulis syarikat di Twitter.

Keputusan itu menjejaskan perkhidmatan ke London, Munich, Paris, Brussels, Milan, Vienna, Stockholm, Zurich, Copenhagen dan Oslo, namun syarikat penerbangan berkata sekitar jam 12:30 tengah hari semalam, ia meneruskan operasi biasa ke Eropah.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines juga terpaksa melencongkan pesawat ke Eropah ke Mumbai dan Dubai sementara pesawat ke Frankfurt dibatalkan.

Krisis antara negara jiran berkuasa nuklear, Pakistan dan India meningkatkan kebimbangan perang bakal meletus. Namun Pakistan berkata, ia akan membebaskan juruterbang India yang ditangkap hari ini.

Terdahulu, India berkata, tentera udaranya turut menembak jatuh sebuah jet pejuang Pakistan ketika negara itu menutup ruang udaranya awal kelmarin (Rabu).

Pihak berkuasa penerbangan awam Pakistan berkata, mereka membenarkan sesetengah pesawat berlepas semalam iaitu pesawat Emirates dari Peshawar ke Dubai, Air Arabia dari Peshawar ke Ras Al Khaimah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar Airways dari Peshawar ke Doha.

Emirates terpaksa membatalkan 10 penerbangan pulang ke Pakistan sementara Qatar Airways pula membatalkan penerbangan ke Peshawar, Faisalabad, Islamabad, Karachi, Lahore dan Multan. Saudi Airlines juga menggantung semua penerbangan ke Pakistan ‘sehingga notis lanjut.’

Di Russia, dua penerbangan dari Moscow ke Vietnam dan Saint Petersburg ke Thailand terpaksa berpatah balik sementara penerbangan ke Bangkok terpaksa mendarat di Uzbekistan.

Air Canada menggantung penerbangan ke Mumbai dan New Delhi, melencongkan penerbangan ke India pulang ke Toronto sementara tujuh perkhidmatan dari Istanbul ke Pakistan, dibatalkan.

Pakistan International Airlines (PIA) juga membatalkan perkhidmatan ulang alik dari Britain, Sepanyol, Itali dan Kanada berikutan penutupan ruang udara dilanjutkan hari ini.

Penerbangan Thai Airways ke Scandinavia dan penerbangan PIA ke Copenhagen turut terjejas, ketika stesen televisyen tempatan TV2 melaporkan, 25 pelajar Denmark terkandas di lapangan terbang Bangkok.

Thai Airways bergelut mencari laluan baharu ke Eropah apabila Iran ‘menolak’ permohonan menggunakan ruang udaranya, menurut jurucakap syarikat.

Namun beberapa jam kemudian, China memberi kebenaran kepada Thai Airways untuk melencongkon ruang udara Pakistan, menurut Naib Presiden Thai Airways, Pratana Patanasiri, membolehkan penerbangan malam semalam (Khamis) ke Eropah, diteruskan.

Kekecewaan bagaimanapun memuncak di lapangan terbang utama Bangkok semalam.

“Kami menunggu di sini selama 11 hingga 12 jam. Kami belum makan atau menempah mana-mana hotel. Tiada kakitangan bercakap Jerman membantu kami,” kata Gerda Heizel, 55, seorang pelancong Jerman kembali ke Munich selepas bercuti di Phuket. -AFP

Berita Harian X