Ahad, 24 Februari 2019 | 5:38pm

Iran berjaya uji peluru berpandu - media

DUBAI: Iran berjaya menguji peluru berpandunya hari ini ketika latihan berhampiran Selat Hormuz, lapor media tempatan, ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat semakin memuncak.

Tehran, pada masa lalu mengancam menyekat Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak utama di Teluk, sebagai membalas dendam kepada tindakan AS, termasuk cubaan menggantung eksport minyak Iran menerusi sekatan.

Ogos lalu, Washington berkata Iran menguji peluru berpandu anti-kapal jarak dekat di selat itu ketika latihan yang dipercayai sebagai amaran susulan keputusan Presiden Donald Trump untuk mengenakan semula sekatan ke atas Tehran.

“Pada hari ketiga latihan, kapal selam tentera laut Iran, jenis Ghadir, berjaya melancarkan peluru berpandu,” kata agensi berita IRNA.

Satu lagi kapal selam Iran, Tareq dan yang baru dibina, Fateh, mempunyai kemampuan sama, IRNA memetik kenyataan tentera sebagai berkata.

Lebih 100 kapal mengambil bahagian dalam latihan tiga hari itu di kawasan luas memanjang dari Selat Hormuz ke Lautan Hindi, lapor media.

Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa mengenai program nuklear Iran Mei lalu dan mengenakan semula sekatan ke atas negara itu. — Reuters

Berita Harian X