Khamis, 21 Februari 2019 | 4:34pm
Pelajar Kashmir berarak mengadakan bantahan terhadap kerajaan India di Muzaffarabad, ibu kota Kashmir Pakistan, semalam susulan penghentian perkhidmatan bas utama dengan Pakistan. -Foto Agensi

Pelajar, ahli perniagaan Kashmir lari dari bandar India selepas diserang

SRINAGAR: Junaid Ayub Rather bersama 30 pelajar lain bersembunyi dalam sebuah bilik kecil selama dua malam ketika samseng berteriak mahukan darah mereka di luar sebelum akhirnya melepaskan diri daripada kemarahan melanda India selepas pengeboman bunuh diri minggu lalu di Kashmir.

Situasi serupa dialami di seluruh India ketika penduduk Kashmir yang tinggal jauh dari wilayah itu melarikan diri daripada tentangan keganasan susulan serangan terbaharu di rantau bergolak Himalaya, yang mengorbankan lebih 40 tentera separa.

Penduduk yang berang berkumpul di luar hostel dan pangsapuri disewa pelajar Kashmir di Dehradun, utara New Delhi, melaungkan ‘pengkhianat’ dan ‘pengganas’ yang bersembunyi supaya ditembak.

“Ia mengambil masa empat hari untuk kami sampai ke rumah di Kashmir dengan bantuan polis dan seorang ahli perniagaan Islam. Kami seramai 30 orang tidur dalam satu bilik selama dua malam sebelum melarikan diri,” kata Rather yang tinggal di bandar utara itu selama dua tahun selepas sampai di rumahnya di selatan bandar ini.

Ahli perniagaan Islam itu kata mereka, membenarkan pelajar menginap di rumahnya sehingga menguruskan bas untuk pulang ke Kashmir dengan selamat.

Kira-kira 11,000 pelajar Kashmir mendaftar di universiti India di luar wilayah itu setiap tahun. Ramai kini berpusu-pusu pulang ke rantau dilingkari perang saudara 30 tahun, bimbang diserang.

Video penduduk Kashmir dipukul dan diejek di bandar India tersebar dalam media sosial. Seorang wanita Kashmir melepasi operasi pemeriksaan rawak di Srinagar. -Foto AFP

Rakaman video penduduk Kashmir dipukul dan dihambat di bandar India dikongsi meluas dalam media sosial, sementara kumpulan Hindu sayap kanan dan penyokong menggalakkan balas dendam di saluran televisyen berita.

Seorang profesor daripada Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi minggu ini secara terbuka menggesa pembunuhan 40 penduduk Kashmir bagi membalas dendam pengeboman itu, sementara dua kolej mengumumkan tidak lagi menerima pelajar dari wilayah berkenaan.

Lebih 500 pelajar bersama 100 ahli perniagaan sudah pulang ke Kashmir untuk lari daripada ketakutan dan penghinaan di seluruh India,” kata Ketua Persekutuan Pedagang dan Pengeluar Kashmir, Mohammad Yasin Khan. -AFP

Berita Harian X