Khamis, 21 Februari 2019 | 12:41pm
Keadaan di Kashmir, iaitu di sempadan Pakistan dan India. Foto EPA

Kawalan keselamatan tokoh politik ditarik balik

NEW DELHI: Kerajaan Jammu dan Kashmir menarik baik kawalan keselamatan ke atas 18 pemimpin pemisah dan 155 tokoh politik, susulan kejadian serangan pengebom nekad militan Islam, yang mengorbankan 40 tentera minggu lalu.

Negeri di kawasan pergunungan itu, kini ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan India, selepas Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, bergabung dengan parti politik utama Kashmir.

Sebelum ini, pemimpin kumpulan pemisah dipantau anggota keselamatan bagi melindungi mereka daripada serangan militan, susulan rundingan bersama kerajaan persekutuan.

Dalam satu kenyataan, kerajaan negeri Jammu dan Kashmir, menganggap peruntukan keselamatan itu adalah satu pembaziran ke atas sumber negeri yang terhad dan ia boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

“Selain, pemimpin pemisah, kawalan keselamatan terhadap 155 tokoh politik dan aktivis, antaranya membabitkan parti politik utama, turut ditarik balik.

“Berikutan pelaksanaan langkah itu, lebih 1,000 anggota polis dan lebih 100 kenderaan boleh menjalankan tugas biasa mereka,” kata kenyataan itu. - Reuters

Berita Harian X