Ahad, 17 Februari 2019 | 8:28pm
Seorang lelaki Kashmir cuba menarik Pheran (kot tradisi Kashmir) yang tersangkut pada dawai kawat duri dipasang sebagai penghadang ketika penutupan di Srinagar, Kashmir India hari ini. - Foto EPA
Peniaga Hindu dan Muslim India melaungkan bantahan di luar Masjid Shahi Jama di Ahmedabad, kelmarin susulan serangan ke atas konvoi polis separa tentera Khamis lalu. - Foto AFP

Muslim Kashmir diusir, diancam susulan serangan konvoi

SRINAGAR: India memberi amaran berlakunya ketegangan meningkat masyarakat di seluruh negara ketika penduduk Kashmir yang tinggal di luar negeri itu berdepan pengusiran, digantung kerja dan penghinaan media sosial susulan serangan pengebom yang mengorbankan 44 anggota polis di rantau itu.

Serangan bom kereta ke atas konvoi keselamatan Khamis lalu, didakwa dilakukan kumpulan militan berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammad dan dilakukan seorang lelaki Kashmir berusia 20-an, adalah yang terburuk sejak berdekad pemberontakan di kawasan bertelingkah, dituntut kedua-dua jiran bersenjata nuklear itu.

Ketika mayat anggota polis separa tentera diserahkan kepada keluarga di seluruh India hujung minggu ini, penduduk mengibarkan bendera di jalanan sebagai penghormatan dan menuntut balas dendam. Pakistan menafikan sebarang peranan dalam pembunuhan itu.

Sementara itu, Muslim Kashmir, berdepan tentangan daripada penganut Hindu terutama di negeri utara Haryana dan Uttarakhand, memaksa Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan nasihat kepada semua negeri ‘memastikan keselamatan mereka dan mengekalkan keharmonian masyarakat.’

Seorang pelajar Kashmir di ibu kota Uttarakhand di Dehradun, Aqib Ahmad berkata, pemilik rumah sewanya memintanya keluar bimbang rumahnya diserang. Kadar tambang tiket penerbangan ke Kashmir meningkat mendadak sejak ketegangan memuncak, katanya.


Peniaga Hindu dan Muslim India melaungkan bantahan di luar Masjid Shahi Jama di Ahmedabad, kelmarin susulan serangan ke atas konvoi polis separa tentera Khamis lalu. - Foto AFP

Dua lagi pelajar di Dehradun berkata, mereka juga diminta mengosongkan bilik dengan segera.

“Ke mana kami mahu pergi?” kata Waseem Akram kepada Reuters, menuntut pihak berkuasa memastikan keselamatan untuk semua pelajar Kashmir.

Media tempatan melaporkan, sesetengah pelajar Kashmir diserang anggota kumpulan sayap kanan Hindu di Uttarakhand, sementara seorang lelaki Kashmir didakwa polis di bandar selatan Bengaluru mengikut undang-undang menghina era penjajah kerana tulisan didakwa menyokong militan.

Polis di negeri Jammu and Kashmir (J&K) berkata, mereka menyediakan kemudahan sementara kepada penduduk yang kembali ke Kashmir. Polis menggesa penduduk menghubung talian kecemasan untuk ‘bantuan segera jika mereka berdepan sebarang kesukaran/gangguan.’ - Reuters

Berita Harian X