Jumaat, 15 Februari 2019 | 6:28pm
Penunjuk perasaan India melaungkan bantahan terhadap Pakistan berhampiran kenderaan dibakar di Jammu, hari ini.-Foto AFP

44 maut serangan bom Kashmir, India beri amaran kepada Pakistan

NEW DELHI/SRINAGAR: Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi amaran kepada Pakistan hari ini untuk menjangka tindak balas keras terhadap serangan bom kereta konvoi tentera di Kashmir yang mengorbankan 44 anggota polis separa tentera, meningkatkan ketegangan antara negara jiran berkuasa nuklear itu.

Hanya berlaku beberapa bulan sebelum pilihan raya umum di India, serangan itu dianggap terburuk sejak berdekad lalu di Jammu dan Kashmir, walaupun wujud pemberontakan panjang dalam satu-satunya negeri majoriti Islam negara itu.

“Kami akan memberi jawapan selayaknya, jiran kami tidak akan dibenarkan untuk menggugat kestabilan kami,” kata Modi dalam ucapan selepas bertemu penasihat keselamatannya bagi membincangkan pilihan.

Kumpulan militan berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammad (JeM) mengaku bertanggungjawab tidak lama selepas pengebom berani mati merempuh kereta membawa bahan letupan ke arah bas membawa kakitangan Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF) semalam.

Dalam satu kenyataan, Rumah Putih menggesa Pakistan ‘menamatkan segera sokongan dan perlindungan terhadap semua kumpulan pengganas beroperasi di tanah airnya.’

Islamabad sebaliknya menolak tuduhan kaitannya dengan serangan terbabit. Kashmir adalah rantau majoriti Islam di tengah berdekad permusuhan antara India dan Pakistan. Kedua jiran itu mentadbir sebahagian rantau sambil menuntut keseluruhan wilayah sebagai milik mereka.

Menurut saksi, letupan menyasar konvoi CRPF itu didengar beberapa kilometer jauhnya. Seorang wartawan, Mohammad Yunis yang sampai ke tempat kejadian beberapa minit kemudian berkata, beliau melihat darah dan cebisan tubuh berselerakan di sepanjang 100 meter lebuh raya utama yang menghubungkan Jammu dan Kashmir.

Peniaga Hindu dan Muslim India melaungkan bantahan di luar Masjid Shahi Jama di Ahmedabad, kelmarin susulan serangan ke atas konvoi polis separa tentera Khamis lalu. - Foto AFP

“Kami menuntut Pakistan berhenti menyokong kumpulan pengganas beroperasi dari wilayah mereka dan merobohkan infrastruktur dikendalikan cawangan pengganas untuk melancarkan serangan di negara lain,” kata Kementerian Luar India dalam satu kenyataan, beberapa jam selepas serangan.

Kementerian Luar Pakistan menyifatkan serangan itu perkara ‘yang dibimbangi secara mendalam,’ namun dalam satu kenyataan ringkas awal hari ini menambah: “Kami menolak dengan keras sebarang elemen dalam kerajaan India dan media yang mengaitkan serangan dengan Pakistan tanpa siasatan.” -Reuters

Berita Harian X