Jumaat, 15 Februari 2019 | 1:24am
WAKIL Dagangan AS, Robert Lighthizer tiba di China. - Foto AFP
WAKIL Dagangan AS, Robert Lighthizer tiba di China. - Foto AFP

AS, China runding elak tingkat perang dagangan

BEIJING: Perunding Amerika Syarikat (AS) dan China memulakan rundingan peringkat tinggi, hari ini, dan Presiden Donald Trump menyifatkan rundingan itu akan menentukan sama ada beliau akan meneruskan perang tarif antara dua ekonomi terbesar dunia terbabit.

Minggu ini, Trump memaklumkan beliau terbuka untuk melanjutkan gencatan dagangan selepas 1 Mac depan bergantung kepada kemajuan yang dicapai di Beijing. Bloomberg News yang memetik sumber sebagai berkata, Trump sedang mempertimbangkan tempoh lanjut selama 60 hari.

Disember lalu, Trump menangguhkan rancangan meningkatkan tarif terhadap AS$200 bilion (RM815.59 bilion) import China bagi memberikan masa untuk rundingan.

Dua kuasa besar ekonomi itu sudah mengenakan tarif terhadap lebih AS$360 bilion (RM1.46 trilion) dagangan dua hala, ia menjejaskan sektor pengilangan kedua-dua negara dan membimbangkan pasaran kewangan dunia.

Wakil Dagangan AS, Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin bertemu dengan Pengarah Kewangan Pusat dan Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Ekonomi China, Liu He dalam cubaan mengukuhkan kemajuan yang dicapai di Washington, bulan lalu.

“Kami teruja untuk berbincang hari ini,” kata Mnuchin, ketika keluar dari hotel, semalam, untuk rundingan itu.

Jangkaan perjanjian dagangan itu dicapai kian meningkat, ketika China berdepan tekanan pertumbuhan ekonomi merudum dan AS pasaran global tidak menentu mencabar Trump bersama penasihat ekonominya.

Data yang diterbitkan di China, semalam, menunjukkan lebihan dagangan negara itu dengan AS yang menjadi sumber utama kemarahan pentadbiran Trump susut kepada AS$27.3 bilion (RM111.34 bilion) pada Januari lalu.

Tahun lalu, lebihan dagangan China dengan AS mencatat rekod AS$323.3 bilion (RM1.31 trilion). - AFP

Berita Harian X