Khamis, 14 Februari 2019 | 5:47pm
Dalam pemburuan itu, haiwan yang panik itu sering tersangkut dalam jala, tersekat dan lemas. -Foto Agensi
Dalam pemburuan itu, haiwan yang panik itu sering tersangkut dalam jala, tersekat dan lemas. -Foto Agensi

Aktivis Jepun fail saman henti buru ikan lumba-lumba

TOKYO: Jurukempen alam sekitar memfailkan satu tuntutan belum pernah berlaku dalam cubaan menghentikan apa yang digelar ‘pemburuan memandu’ ikan lumba-lumba di Jepun, menganggap amalan itu kejam dan dilarang.

Dalam pemburuan itu, nelayan memaksa ikan lumba-lumba ke dalam teluk dengan memukul bot untuk memperdaya mereka. Haiwan yang panik itu sering tersangkut dalam jala, tersekat dan lemas.

Aktivis berkata, sesetengah ikan lumba-lumba terhempas ke batu dan mati akibat cedera, sementara yang lain dibunuh oleh nelayan yang menjulurkan batang keluli panjang berulang kali ke tubuh mereka di bawah lubang pernafasan untuk merosakkan saraf tunjang.

Dalam tuntutan difailkan minggu lalu, plaintif menuntut gabenor di daerah barat Wakayama membatalkan permit memburu tiga tahun di bandar pelabuhan Taiji.

Amalan itu difilemkan dalam dokumentari pemenang Oscar 2009, ‘The Cove’, yang mencetuskan kontroversi apabila menyebabkan aktiviti memburu tahunan itu mendapat perhatian global.

Banyak pihak di Jepun merasakan tidak adil menyasar komuniti perikanan bandar itu, namun yang lain terkejut dengan rakaman mengganggu.

Tuntutan itu adalah cabaran perundangan pertama terhadap aktiviti pemburuan di Taiji, menurut seorang peguam yang terbabit dalam memfailkan dokumen.

Ia berhujah, kaedah pemburuan melanggar akta kebajikan haiwan Jepun, yang menyatakan haiwan sepatutnya tidak didera atau dibunuh secara sewenang-wenangnya dan apabila mereka perlu dibunuh, kesakitan perlu diminimumkan.

“Kebanyakan rakyat Jepun melihat ikan lumba-lumba sebagai ikan dan secara tersilap percaya, akta kebajikan haiwan tidak terpakai ke atas mereka,” kata Ren Yabuki, ketua sebuah badan kebajikan alam sekitar tanpa keuntungan (NGO) yang mengemukakan tuntutan bersama seorang penduduk Taiji yang enggan dikenali. -AFP

Berita Harian X