Khamis, 14 Februari 2019 | 4:36pm
Gambar dikeluarkan agensi berita Fars semalam menunjukkan sebuah bas membawa Pengawal Revolusi diletupkan penyerang bunuh diri di tenggara Iran. -Foto AFP
Gambar dikeluarkan agensi berita Fars semalam menunjukkan sebuah bas membawa Pengawal Revolusi diletupkan penyerang bunuh diri di tenggara Iran. -Foto AFP

27 Pengawal Revolusi Iran maut dalam serangan nekad

GENEVA/LONDON: Serangan pengebom nekad mengorbankan 27 anggota elit Pengawal Revolusi semalam, kata media tempatan di rantau tenggara Iran di mana pasukan keselamatan berdepan peningkatan militan.

Kumpulan militan Jaish al Adl (Tentera Keadilan), yang berkata, ia menuntut hak lebih besar dan kehidupan lebih baik untuk etnik minoriti Baluchis, mendakwa bertanggungjawab atas serangan terbabit, lapor agensi berita separa rasmi Fars.

Kematian besar di kalangan pasukan elit tentera Iran itu menyebabkan seorang komander kanan Pengawal Revolusi mengeluarkan amaran kepada musuh negara itu.

“Tindak balas kami dalam mempertahankan Revolusi Islam tidak akan terhad di sempadan. Musuh akan menerima tindak balas tegas daripada Pengawal Revolusi seperti sebelumnya,” kata komander itu, Ali Fadavi dipetik agensi Fars.

Beliau tidak menyatakan secara khusus musuh atau tindakan bakal diambil Tehran.

Pada masa lalu, Iran menuduh seteru serantaunya, Arab Saudi, menyokong kumpulan pemisah Sunnah yang menyerang pasukan keselamatannya namun dinafikan Riyadh.

Pihak berkuasa Syiah Iran berkata, kumpulan militan terbabit beroperasi dari Pakistan dan berulang kali menggesa negara jiran itu melakukan tindakan terhadap mereka.

Seorang pengebom nekad memandu kenderaan dipenuhi bahan letupan menyerang sebuah bas membawa anggota pengawal kata pasukan itu dalam satu kenyataan. Tiga belas anggota dilaporkan cedera.

Satu video dihantar Fars menunjukkan darah dan serpihan di tempat serangan di sebatang jalan raya bergolak berhampiran sempadan Pakistan di mana militan dan penyeludup dadah bersenjata beroperasi. Reuters tidak dapat mengesahkan imej berkenaan. -Reuters

Berita Harian X