Khamis, 24 Januari 2019 | 5:53pm
Yanghee Lee

Wakil PBB lawat pulau 'penempatan semula' Rohingya

DHAKA: Wakil khas hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee melawat sebuah pulau di luar pantai Bangladesh yang disebut-sebut menjadi lokasi penempatan semula pelarian Rohingya walaupun wujud kebimbangan, ia terdedah kepada cuaca buruk.

Kira-kira 750,000 Muslim Rohingya membanjiri Bangladesh Ogos 2017 selepas tindakan keras tentera Myanmar yang dikatakan PBB bersamaan genosid, menyertai 250,000 pelarian yang sudah menetap di sana.

Bangladesh membelanjakan AS$280 juta (RM1.16 bilion) menukar Bhashan Char, pulau kecil berlumpur yang muncul dari laut dua dekad lalu, kepada kem untuk sejumlah pelarian.

Bhashan Char, pulau kecil berlumpur yang muncul dari laut dua dekad lalu dan mengambil masa sejam perjalanan menaiki bot dari daratan terdekat, terdedah kepada ribut ganas. -Foto Agensi

Namun kepulauan itu, terletak dalam wilayah tepi pantai di mana cuaca buruk mengorbankan ratusan ribu penduduk sejak dekad terbaharu, mengambil masa sejam perjalanan menaiki bot dari daratan terdekat, juga terdedah kepada ribut ganas.

Sesetengah pelarian Rohingya yang tinggal dalam kem terlebih sesak dan sempit di daerah sempadan Cox’s Bazaar di tenggara Bangladesh, melahirkan perasaan tidak senang untuk berpindah, sementara PBB bertegas, mana-mana perpindahan semula perlu secara sukarela.

Pelarian Islam Rohingya yang berlindung dalam kem penuh sesak, sempit di Cox’s Bazaar, Bangladesh. -Foto Agensi

Lee, melawat pulau itu menaiki helikopter ditemani pegawai Kementerian Luar Bangladesh dan dijangka memeriksa kemudahan dan perlindungan dibina di sana.

PBB berkata, wakil berkenaan yang turut mengunjungi Thailand, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan namun dijangka mengadakan sidang media di sini esok.

Menteri Luar Bangladesh, A.K. Abdul Momen minggu ini berkata, Dhaka tidak menyembunyikan apa-apa di pulau terbabit dan mereka akan membawa diplomat yang berminat mengadakan lawatan, mengunjunginya sebaik kerja pembinaan selesai.

“Kami amat terbuka. Kami bukan bermain sembunyi-sembunyi. Kerja perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya. -AFP

Berita Harian X