Selasa, 1 Januari 2019 | 7:40pm

586 korban di Kashmir pada 2018, tertinggi sejak sedekad

SRINAGAR: Kashmir yang dikuasai India merekodkan jumlah kematian paling ramai pada 2018 dan pakar menjangkakan masa depan wilayah dipertikaikan itu bakal menjadi lebih teruk.

Difahamkan, kerajaan India dan militan akan meneruskan pertembungan sengit, tahun ini.

Ahli politik Kashmir dan pakar bebas India berkata, kehadiran 500,000 tentera di wilayah Himalaya itu dan pilihan raya umum India pada 2019 membayangkan tidak banyak harapan pertumpahan darah akan berhenti.

Kumpulan hak asasi, Persatuan Perikatan Masyarakat Sivil Jammu-Kashmir (JKCCS) berkata, seramai 586 orang maut di wilayah itu pada 2018 termasuk 267 militan, 160 penduduk awam termasuk 31 kanak-kanak dan bakinya adalah pasukan bersenjata India.

Bagaimanapun, senarai itu tidak membabitkan puluhan korban tembakan di kawasan sempadan tidak rasmi antara wilayah Kashmir India dan Pakistan.

Jumlah korban militan dan pasukan keselamatan pada 2018 adalah yang tertinggi selama sedekad dengan hampir 800 pertempuran direkodkan.

Situasi semakin buntu itu menunjukkan kesan operasi kerajaan yang lebih hebat atau ‘Operation All-Out’ untuk menghapuskan kumpulan bersenjata yang mahu kemerdekaan Kashmir atau penggabungan dengan Pakistan.

Menurut JKCCS lagi, seramai 20 anggota keselamatan India dilaporkan membunuh diri, ia adalah jumlah tertinggi dalam rekod.

Kerajaan nasionalis di bawah Perdana Menteri Narendra Modi mengambil pendirian tegas terhadap Kashmir dan Pakistan.

Parti beliau Bharatiya Janata (BJP) mahu penggal baharu, tahun ini, dan keadaan itu membayangkan operasi tentera di wilayah itu tidak akan reda. - AFP

Berita Harian X