Selasa, 25 Disember 2018 | 10:36am
PATRICK Cammaert (kanan) memantau gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hodeida. - Foto AFP
PATRICK Cammaert (kanan) memantau gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hodeida. - Foto AFP

Ketua pemantau PBB gesa semua pihak hormati gencatan senjata Yaman

HODEIDA: Ketua pasukan pemantau gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hodeida di sini, dilaporkan mengadakan lawatan ke pelabuhan itu, semalam.

Ketika lawatan itu, timbalan pengarah pelabuhan Hodeida, Yehya Sharafeddin, berkata bekas pegawai kanan tentera Belanda, Jeneral Patrick Cammaert berkenaan meminta, tentera kerajaan yang mendapat sokongan Arab Saudi dan pemberontak Houthi supaya menghormati perjanjian damai terbabit.

“Pegawai PBB memberi kami jaminan bahawa perang ini akan berakhir.

“Beliau (Cammaert) berkata perang Yaman ini sudah dilupakan selama beberapa tahun, tetapi kini masyarakat antarabangsa berusaha keras untuk menamatkannya,” kata Sharafeddin kepada AFP menerusi telefon selepas lawatan Cammaert ke pelabuhan itu, yang mengendalikan sebahagian besar import dan bantuan kemanusiaan ke Yaman.

Selepas melawat pelabuhan berkenaan, Cammaert mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan tempatan di bandar Hodeida.

“Kami tidak mampu menyelesaikan masalah anda, sebaliknya kamu perlu berusaha mengatasinya.

“Oleh itu, amat penting untuk kedua-dua pihak mematuhi perjanjian gencatan senjata dan tidak menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Cammeart dilantik mengetuai jawatankuasa bersama, yang turut dianggotai wakil dari kerajaan dan pemberontak Houthi, selain bertanggungjawab memantau proses gencatan senjata di bandar di Laut Merah serta kawasan sekitarnya sejak 18 Disember lalu.

Beliau tiba di Hodeida pada Sanaa, selepas menghadiri mesyuarat dengan pegawai kerajaan di Aden. - AFP

Berita Harian X