Ahad, 9 Disember 2018 | 12:18pm
FOTO hiasan.

Peluncur ombak cedera parah dibaham jerung

SYDNEY: Seorang peluncur ombak cedera parah dibaham jerung di perairan timur Australia dalam siri terbaru serangan ikan itu bagi tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Mangsa berusia 36 tahun sedang meluncur berhampiran Pantai Scotts Head, kira-kira 490 kilometer di utara Sydney pada waktu pagi apabila diserang, lapor polis New South Wales (NSW).

“Lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian bawah lutut kaki kanan iaitu lima liang luka yang dalam dan kehilangan banyak darah,” kata jurucakap ambulans NSW.

Pasukan penyelamat Surf Life Saving NSW berkata, mangsa sedang berada di dalam air bersama beberapa peluncur lain sebelum tiba-tiba hilang.

“Seorang daripada mereka melihat beliau tenggelam bersama kocakan air dan melihat mangsa mengangkat tangan sebagai isyarat mengalami masalah,” kata jurucakap Surf Life Saving, Donna Wishart kepada stesen televisyen rasmi ABC.

Lelaki itu diterbangkan ke hospital sebaik sahaja berjaya dikeluarkan dari air.

Serangan terbabit adalah yang kelapan di pantai Australia dalam tempoh tiga bulan, serentak dengan perdebatan awam mengenai kaedah mengurangkan pertembungan antara jerung dan pengunjung pantai.

New South Wales, negeri paling padat penduduk di Australia sudah mencuba pelbagai kaedah yang tidak menyebabkan kematian seperti menggunakan dron untuk mengesan pergerakan jerung.

Menurut data dari Zoo Taronga, Sydney, seorang perenang maut dibaham jerung di Kepulauan Whitsunday, awal November lalu. - AFP

Berita Harian X