Selasa, 4 Disember 2018 | 3:05pm
Foto fail yang diambil pada 05 September 2018 berhampiran sempadan Rosh Hanikra menyeberangi Israel utara, menunjukkan traktor di sepanjang tembok baru di sempadan Israel-Lubnan. - Foto AFP
Foto fail yang diambil pada 05 September 2018 berhampiran sempadan Rosh Hanikra menyeberangi Israel utara, menunjukkan traktor di sepanjang tembok baru di sempadan Israel-Lubnan. - Foto AFP

Tentera Israel sasar terowong pejuang Hizbullah

BAITULMAQDIS: Tentera Israel akan melancarkan operasi bertujuan membongkar terowong yang digali pejuang Hizbullah dari Lubnan untuk menyekatnya daripada melakukan serangan ke atas negara Yahudi itu.

Tentera Yahudi tahu berapa banyak terowong yang digali dari Lubnan ke Israel dari sebelah utara, kata jurucakapnya, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus.

Pada masa sama, tentera Israel hanya mengehadkan operasinya di sebelah wilayahnya dan tidak sampai ke sebelah Lubnan dengan ada sesetengah kawasan terbabit sudah dipagar, katanya.

“Aktiviti menggali itu diketahui tentera Israel dan sebelum ia boleh digunakan untuk menyerang dan mengancam keselamatan orang awam Israel, langkah perlu diambil bagi menghalang pelanggaran serius ke atas kedaulatan Israel,” menurut kenyataan tentera.

Kali terakhir Israel dan Hizbullah yang pro-Iran terbabit dalam perang adalah pada 2006.

Akhbar The Jerusalem Post memetik laporan media Lubnan As-safir yang menyiarkan beberapa berita mengenai persiapan Hizbullah berperang dengan Israel, pada 2015. Antaranya termasuk menggali satu rangkaian terowong bawah tanah bagi membolehkan ribuan roket dibawa dan dilancarkan.

Menurut laporan mengenai terowong itu, ia membabitkan pembinaan laluan kecemasan untuk lari daripada serangan musuh.

Laluan itu mempunyai saluran bekalan udara selama 24 jam melalui jana kuasa bawah tanah selain sistem untuk melindungi peralatan senjata.

Bagi menghalang serangan Hizbullah, Israel membina hadangan tertentu di sepanjang sempadannya dengan Lubnan termasuk sekitar Sulam Ridge, Metula dan Misgav Am ke selatan dan timur Garisan Biru yang menjadi penanda sempadan dua negara. - Reuters/Agensi

Berita Harian X