Rabu, 21 November 2018 | 1:30pm
Morrison dikecam kerana menganggap tanggungjawab menangani keganasan di Australia terletak di bahu pemimpin Islam negara itu. -Foto EPA

PM Australia, pemimpin Islam tempatan bertelagah

SYDNEY: Pemimpin Islam Australia berkata hari ini, mereka akan memboikot satu mesyuarat dengan Perdana Menteri Scott Morrison selepas beliau mengatakan mereka perlu melakukan lebih lagi untuk menghentikan serangan ganas di negara itu.

Morrison memilih pemimpin masyarakat Islam kerana menganggap mereka ‘memiliki tanggungjawab khas’ menangani ‘ideologi radikal dan berbahaya pelampau Islam’ susulan serangan ganas di Melbourne awal bulan ini yang menyebabkan dua maut.

“Mereka perlu proaktif, mereka perlu lebih berwaspada dan menghentikannya,” kata Morrison, menambah beliau akan mengadakan rundingan meja bulat bersama pemimpin Islam minggu ini bagi membincangkan masalah itu.

Namun Mufti Agung Australia Ibrahim Abu Mohamed dan kumpulan individu kanan Islam lain menolak jemputan itu dalam sepucuk surat terbuka kepada Morrison hari ini.

Pemimpin Islam itu berkata, mereka ‘amat bimbang secara mendalam dan kecewa’ terhadap ulasan Morrison dan menteri lain ‘yang merumuskan secara bersama komuniti itu bersalah atas tindakan jenayah individu dan perlu melakukan lebih lagi untuk menghalang tindakan keganasan sebegitu.’

“Kenyataan ini tidak mencapai apa-apa untuk menangani isu di sebaliknya, namun mengasingkan sebahagian besar masyarakat Islam,” kata mereka dalam surat itu yang diterbitkan media Australia.

Abu Mohamed ‘amat bimbang secara mendalam dan kecewa’ terhadap ulasan Morrison dan menteri lain ‘yang merumuskan secara bersama masyarakat Islam Australia itu bersalah atas tindakan jenayah individu dan perlu melakukan lebih lagi untuk menghalang tindakan keganasan sebegitu.’ -Foto Agensi

Surat itu mencetuskan tweet daripada Morrison, yang menuduh pihak di sebalik boikot itu ‘meneruskan laluan penafian’ dan menjadikan masyarakat mereka ‘kurang selamat dan lebih terdedah.’

“Kita semua memiliki tanggungjawab menjadikan Australia selamat dan itu bermaksud menjadikan masyarakat Islam tidak ditembusi ideologi berbahaya ini,” tweetnya. -AFP

Berita Harian X