Selasa, 20 November 2018 | 7:07am
Airbnb berkata, keputusan itu menjejaskan kira-kira 200 penyenaraian di penempatan Tebing Barat, akan berkuat kuasa beberapa hari lagi. -Foto Agensi
Airbnb berkata, keputusan itu menjejaskan kira-kira 200 penyenaraian di penempatan Tebing Barat, akan berkuat kuasa beberapa hari lagi. -Foto Agensi

Airbnb keluarkan penyenaraian di penempatan Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Syarikat sewaan rumah, Airbnb Inc berkata semalam, ia akan mengeluarkan senarai premisnya di penempatan Yahudi di Tebing Barat, wilayah dianggap kuasa dunia tidak sah kerana tanah dirampas daripada penduduk Palestin.

“Kami memutuskan untuk mengeluarkan penyenaraian di penempatan Israel di jajahan Tebing Barat yang menjadi punca utama pertikaian antara Israel dan Palestin.

“Harapan kami ialah satu hari nanti, lebih cepat berbanding lambat, satu rangka kerja dilaksanakan di mana masyarakat global keseluruhan sepakat untuk mencapai resolusi dalam konflik bersejarah ini dan satu laluan jelas untuk semua mengikutinya,” kata kenyataan di laman web Airbnb.

Seorang jurucakap Airbnb berkata, keputusan itu menjejaskan kira-kira 200 penyenaraian, akan berkuat kuasa beberapa hari lagi.

Tiada maklum balas segera daripada kerajan Israel, yang menawan Tebing Barat dalam perang Asia Barat 1967, begitu juga pihak berkuasa Palestin.

Kira-kira 500,000 penduduk Israel tinggal di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis, kawasan yang turut menempatkan lebih 2.6 juta penduduk Palestin.

Datuk Bandar penempatan Tebing Barat di Efrat, Oded Revivi, dan wakil penempatan payung majlis Yesha, menyifatkan keputusan Airbnb sebagai bertentangan dengan misinya, seperti dinyatakan di laman webnya untuk ‘membantu mengumpul ramai orang di seberapa banyak tempat mungkin di seluruh dunia.’

“Apabila mereka membuat keputusan seperti itu, mereka terbabit dengan politik, yang mana mengalahkan tujuan sebenar syarikat itu sendiri,” katanya. -Reuters

Berita Harian X