Jumaat, 9 November 2018 | 4:42pm
Pasangan kembar Nima dan Dawa bersama ibu mereka, Bhumchu Zangmo. -Foto Agensi
Pasangan kembar Nima dan Dawa bersama ibu mereka, Bhumchu Zangmo. -Foto Agensi

Doktor Australia pisahkan kembar Siam Bhutan

SYDNEY: Pasangan kembar Siam perempuan dari Bhutan dipisahkan dalam pembedahan selama enam jam di sebuah hospital Australia hari ini dan ketua pakar bedah berkata beliau agak yakin kanak-kanak berkenaan akan sembuh dengan jayanya.

Kembar berusia 15 bulan, Nima dan Dawa, bercantum dari bahagian dada ke punggung.

Doktor di Hospital Diraja Kanak-kanak Melbourne (RCHM) berkata, mereka perlu memisahkan hati kembar berkenaan dan cabaran utama ialah mencantumkan semula bahagian abdomen.

“Ia satu kelegaan dan kegembiraan, tiada apa yang lebih baik dalam mana-mana pembedahan untuk mengumumkan kejayaan kami kepada ibu bapa,” kata Dr Joe Crameri yang mengetuai pasukan pakar bedah seramai 18 orang dan ketua pembedahan paediatrik di hospital berkenaan dalam sidang media.

Pasukan pembedahan seramai 18 orang diketuai Dr Joe Crameri melakukan prosedur enam jam memisahkan kembar Siam dari Bhutan. -Foto Agensi
Pasukan pembedahan seramai 18 orang diketuai Dr Joe Crameri melakukan prosedur enam jam memisahkan kembar Siam dari Bhutan. -Foto Agensi

Katanya, cabaran akan dirasai dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang namun yakin keputusan yang baik diperoleh.

Kanak-kanak itu dan ibu mereka, Bhumchu Zangmo, dibawa ke Australia bulan lalu oleh badan kebajikan Children’s First Foundation yang berkata, kerajaan Victoria menanggung kos pembedahan sementara mereka membiayai pengangkutan dan penginapan.

Apabila tiba, pasukan perubatan berkata, kanak-kanak itu perlu menambah berat dan dalam keadaan kesihatan baik sebelum dibedah.

Crameri berkata, kembar itu dijangka dirawat di hospital untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Pada 2009, doktor di RCHM berjaya memisahkan kembar Siam dari Bangladesh, Trishna dan Krishna dalam pembedahan selama 25 jam. -Reuters

Berita Harian X