Isnin, 22 Oktober 2018 | 8:03am

Mesir nafi organ pelancong British dicuri

KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menafikan laporan yang mendakwa organ seorang pelancong British dicuri selepas mati mengejut ketika bercuti di negara itu.

David Humphries, 62 meninggal dunia di sebuah resort di Hurghada yang terletak di pesisir Laut Merah pada 18 September lalu.

Sebaik mayatnya diterbangkan kembali ke United Kingdom (UK), bedah siasat kedua mendapati jantung dan beberapa organ lain sudah dikeluarkan, kata media British.

Tetapi, Perkhidmatan maklumat negara Mesir (SIS) mengatakan dakwaan media UK itu sebagai tidak benar dan menyifatkan tuduhan “mencuri organ sebagai tidak berasas.”

Kenyataan itu menyebut bahawa sampel sudah diambil dan jantung, sebahagian hati, buah pinggang dan organ-organ lain dikeluarkan untuk menentukan punca kematian. Namun ia tidak memberi penjelasan mengapa organ berkenaan tidak dikembalikan.

Memetik laporan perubatan, perkhidmatan itu berkata pelancong berkenaan mungkin meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ia turut memetik kenyataan anak mendiang, Anita Goodall sebagai berkata bahawa beliau “tidak menuduh ada pihak yang menyebabkan kematian bapanya.”

Dalam satu lagi kes di Hurghada pada 21 Ogos lalu, pengendali sebuah syarikat pelancongan, Thomas Cook memindahkan semua pelanggannya ke hotel lain selepas sepasang warga British meninggal dunia dalam keadaan yang disifatkan anak perempuan mereka sebagai ‘mencurigakan’.

Pihak berkuasa Mesir berkata, John dan Susan Cooper, yang jatuh sakit dan mati mengejut ketika menginap di hotel lima bintang, Steigenberger Aqua Magic Hotel di resort itu, meninggal dunia akibat kesan jangkitan E. coli. - AFP

Berita Harian X