Ahad, 21 Oktober 2018 | 10:28pm
KANAK-kanak Palestin bermain di sekitar Khan al-Ahmar tempat tumpuan rejim Zionis di Tebing Barat. - Foto AFP

Israel tangguh roboh kampung Khan al-Ahmar

BAITULMAQDIS: Israel memaklumkan ia menangguhkan perobohan kampung Badawi di Tebing Barat selama beberapa minggu, selepas komuniti antarabangsa mendesak negara Zionis itu supaya menghentikannya.

Difahamkan, Israel sedang melakukan rundingan mengenai perpindahan. Keputusan itu diumumkan, selepas mesyuarat kabinet keselamatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Israel sejak sekian lama mahu menghalau golongan nomad Arab di kawasan antara penempatan Yahudi di Maale Adumim dan Kfar Adumim dengan mendakwa kampung Khan al-Ahmar dibina tanpa permit sah.

Penduduk Palestin yang kalah di Mahkamah Agung Israel dalam menentang pemindahan itu berkata, mustahil permit pembinaan dapat diperoleh daripada pihak berkuasa Israel.

Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menggesa Israel membatalkan rancangan merobohkan kampung Khan al-Ahmar dan memindahkan 180 penduduknya ke kawasan kira-kira 12 kilometer bersebelahan tempat pembuangan sampah di Tebing Barat.

Tekanan antarabangsa dipertingkatkan, Rabu lalu apabila pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata, pemindahan penduduk Khan al-Ahmar di kawasan dijajah adalah jenayah perang.

“Kabinet keselamatan membenarkan tempoh lanjutan beberapa minggu untuk rundingan pemindahan sukarela,” menurut kenyataan Israel. - Reuters

Berita Harian X