Ahad, 21 Oktober 2018 | 10:18am
BENJAMIN Netanyahu

Israel tangguh usir 180 penduduk Khan al-Ahmar

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menangguhkan pelan mengusir penduduk badwi Palestin di sebuah perkampungan di Tebing Barat, kata pegawai.

Nasib perkampungan Khan al-Ahmar semakin menjadi tumpuan antarabangsa selepas Israel menyatakan rancangannya memusnahkan perkampungan itu yang menempatkan 180 penduduk.

Penduduknya mendapat sokongan aktivis asing yang sudah berkumpul di sekitarnya dan menunggu jentolak untuk masuk pada bila-bila masa selepas tarikh akhir 1 Oktober ditetapkan oleh Israel bagi penduduk di situ memusnahkan sendiri kediaman mereka.

Pelan pengusiran itu membabitkan pemindahan penduduk terbabit ke satu kawasan baru 12 kilometer dari situ yang terletak bersebelahan tempat pelupusan sampah.

Tetapi, pegawai di pejabat Netanyahu, yang meminta identitinya tidak didedahkan, berkata pelan pemindahan alternatif telah diteliti dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin (PA).

“Matlamat di sini ialah untuk mengadakan rundingan sehingga selesai dengan memeriksa pelan yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk yang diterima sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Penduduk Palestin berkata, pelan pemusnahan perkampungan itu adalah sebahagian rancangan Israel untuk mencipta zon penempatan Yahudi bagi memutuskan Baitulmaqdis Timur dari sebelah Baratnya, kawasan yang ditawan rejim Zionis dalam perang 1967.

Masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Yahudi yang dibina di tanah yang ditawan Israel dalam perang Asia Barat 1967 adalah sesuatu yang haram dan mengurangkan kawasan untuk membina negara Palestin. - Reuters

Berita Harian X