Rabu, 17 Oktober 2018 | 3:21pm
GAMBAR fail menunjukkan penguin kecil dibebaskan dari penangkapan ke laut terbuka dekat Sydney. - Foto AFP

58 penguin Fairy ditemui mati di Australia

SYDNEY: Pegawai hidupan liar di selatan Australia hari ini mengumumkan pihaknya sedang menyiasat kematian besar-besaran 58 ekor penguin yang dipercayai dibunuh oleh anjing.

Penguin Fairy, spesies penguin paling kecil di dunia ditemui mati bergelimpangan di sepanjang pantai di Tasmania, sebuah pulau terpencil terletak jauh dari tanah besar.

“Kami ingin mengingatkan kepada pemilik anjing supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka sepanjang masa kerana anjing berpotensi melakukan banyak kerosakan kepada koloni penguin dalam jangka masa pendek,” menurut kenyataan Jabatan Taman, Pengairan dan Alam Sekitar.

Insiden terbaru itu muncul selepas beberapa bulan puluhan burung ditemui mati di pantai berhampiran dan haiwan itu juga dipercayai diserang anjing.

“Kesemua laporan mengenai ancaman hidupan liar dipandang serius oleh jabatan,” kata jabatan.

Penguin Fairy yang hanya boleh membesar sekitar 30 sentimeter mempunyai jangka hayat selamat 24 tahun dan hanya ditemui di selatan Australia dan New Zealand. AFP.

19 dibaca
Berita Harian X