Ahad, 14 Oktober 2018 | 2:22pm
ORANG ramai membantu mangsa yang tercedera dalam kejadian serangan bom di Taloqan. - Foto AFP
ORANG ramai membantu mangsa yang tercedera dalam kejadian serangan bom di Taloqan. - Foto AFP

Jumlah kematian serangan bom meningkat 22

KABUL : Jumlah kematian akibat serangan bom di kempen pilihan raya Afghanistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 orang dan negara itu dijangka berdepan lebih banyak keganasan menjelang 20 Oktober nanti.

Puluhan orang terbunuh atau cedera dalam pilihan raya parlimen pada Sabtu, susulan peningkatan jumlah serangan oleh militan.

Jurucakap gabenor wilayah, Mohammad Jawad Hejri berkata, sebuah motosikal membawa bom meletup di kalangan penyokong Nazifa Yousefibek, calon wanita untuk wilayah Takhar di barat laut Afghanistan.

Kebanyakan 22 mangsa terbunuh dan 36 mangsa tercedera itu adalah orang awam, katanya.

Pengarah Kesihatan wilayah, Hafizullah Safi berkata, jumlah kematian akibat insiden terbabit mencecah 23 orang.

Di wilayah Herat, barat Afghanistan, dua lelaki bersenjata menyerang pejabat kempen seorang calon di daerah Injeel dan meragut dua nyawa.

Mangsa yang maut ialah kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dan seorang pengawal keselamatan.

Keganasan susulan pilihan raya legislatif yang sekian lama tertangguh mencederakan atau membunuh ratusan penduduk sejak beberapa bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas melaporkan, sekurang-kurangnya 9 calon dilaporkan maut setakat ini, kebanyakan mereka menjadi sasaran pembunuh upahan. - AFP

Berita Harian X