Sabtu, 6 Oktober 2018 | 10:16pm
PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. - Foto Reuters

Penyenaraian Aramco menjelang awal 2021

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkata, penawaran awam permulaan (IPO) syarikat minyak gergasi Aramco akan dilaksanakan menjelang awal 2012.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu, selepas beberapa laporan bahawa rancangan penyenaraian terbabit sudah dibatalkan, lapor Bloomberg.

“Saya percaya ia akan dilakukan menjelang lewat 2020 atau awal 2021. Pelabur akan menentukan harganya pada hari itu. Saya percaya ia akan melebihi paras AS$2 trilion (RM8.29 trilion).

“Pastinya ia amat besar,” kata Putera Mohammed kepada agensi berita itu.

Mohammed menafikan bahawa negara itu dikatakan membatalkan rancangan terbabit, susulan laporan media yang mendakwa beberapa penasihat kewangan penyenaraian Aramco sudah dibubarkan.

“Semua mendengar khabar angin bahawa Arab Saudi akan membatalkan IPO Aramco. Jika ya, ia menangguhkan Visi 2030 Arab Saudi. Ia tidak betul,” katanya.

Rancangan mengapungkan kira-kira lima peratus pemilikan Aramco dijangka menjadi penjualan saham terbesar di dunia.

Ia adalah bahagian penting program reformasi oleh Putera Mohammed untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi Arab Saudi kepada sumber minyak.

Bagaimanapun, beberapa eksekutif Aramco berulang kali menyatakan bahawa keadaan pasaran tidak memberangsangkan menyebabkan IPO itu terpaksa ditangguhkan.

Sepatutnya, penyenaraian itu dijadualkan pada awal tahun ini. Ramai pemerhati mempersoalkan sama ada penyenaraian itu akan berlaku.

Putera Mahkota memaklumkan kepada Bloomberg bahawa IPO itu adalah ‘100 peratus’ untuk kepentingan Arab Saudi. - AFP

Berita Harian X