Selasa, 2 Oktober 2018 | 7:48am
- Foto theresilienceproject.com.au
- Foto theresilienceproject.com.au

Yaman berdepan epidemik ketiga taun

DUBAI: Kes disyaki taun meningkat hampir tiga kali ganda sejak tiga bulan lalu di Hodeida, bandar pelabuhan Yaman yang berada di barisan hadapan pertempuran antara pakatan pro-kerajaan dan pemberontak, kata pertubuhan bukan kerajaan Save the Children hari ini.

“Kemudahan kesihatan disokong Save the Children di seluruh pentadbiran Hodeida merekodkan peningkatan 170 peratus jumlah kes disyaki taun daripada 497 kes pada Jun lalu kepada 1,342 pada Ogos,” kata laporan NGO berpusat di London itu.

Laporan berkata, akhir Julai lalu, serangan udara mengakibatkan kerosakan kemudahan sanitasi dan air yang membekalkan Hodeida dengan air bersih.

“Selepas insiden itu, kes disyaki taun hampir dua kali ganda antara Julai dan Ogos di pusat kesihatan disokong NGO kami,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, Yaman berdepan satu epidemik ketiga taun ketika hujan musim luruh meningkatkan risiko jangkitan. Negara perang itu sudah dilanda dua wabak taun besar-besaran sejak dua tahun lalu.

WHO berkata, 2,451 orang maut akibat taun di seluruh Yaman sejak April 2017, sementara lebih sejuta kes disyaki dilaporkan pada tempoh sama.

Menurut PBB, lebih 120,000 kes disyaki dilaporkan antaa Januari dan pertengahan Ogos lalu, ketika pakatan tentera pro-kerajaan diketuai Arab Saudi menyerang pemberontak Houthi disokong Iran. -AFP

Berita Harian X