Rabu, 5 September 2018 | 10:02pm
PIHAK berkuasa akan dibenarkan untuk merobohkan Kampung Khan al-Ahmar yang didakwa Israel dibina secara haram. - Foto Reuters

Mahkamah Israel lulus robohkan kampung Palestin

BAITULMAQDIS: Mahkamah tertinggi Israel, hari ini mengekalkan perintah untuk merobohkan sebuah perkampungan Badawi Palestin di Tebing Barat untuk membolehkan kerja-kerja pemusnahan dijalankan walaupun wujud tekanan antarabangsa.

Keputusan itu bermaksud dalam tempoh tujuh hari lagi, pihak berkuasa akan dibenarkan untuk merobohkan Kampung Khan al-Ahmar yang didakwa Israel dibina secara haram.

“Kami menolak petisyen menentang arahan untuk merobohkan Khan al-Ahmar. Arahan sementara menghalang kerja-kerja merobohkan kampung ini akan dibatalkan dalam tempoh tujuh hari, mulai hari ini,” menurut keputusan panel hakim mahkamah agung.

Kini terserah kepada pihak berkuasa untuk menentukan bila kerja-kerja pemusnahan dijalankan, selepas perintah sekatan berakhir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa kumpulan hak asasi menentang pemusnahan kampung itu yang hanya mempunyai struktur buatan sendiri daripada aluminium dan kayu.

Mereka berhujah tindakan itu akan akan membolehkan penempatan haram Yahudi diperluaskan dan akan memisahkan Tebing Barat kepada dua sehingga menjadikan harapan sebuah negara Palestin kian pudar. - AFP

Berita Harian X