Rabu, 29 Ogos 2018 | 8:05am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Delegasi AS bertemu ketua perisik Syria - Lubnan

BEIRUT: Satu delegasi keselamatan peringkat atasan Amerika Syarikat (AS) bertemu ketua perisikan berkuasa Syria di Damsyik, dua bulan lalu, lapor akhbar harian Lubnan pro-rejim itu semalam.

Lawatan itu yang tidak dapat disahkan AFP daripada sumber rasmi, mungkin memberi isyarat fasa baharu dalam hubungan tegang antara dua negara.

Menurut Al-Akhbar, akhbar Lubnan yang rapat dengan pergerakan Hizbullah pro-Damsyik berkata, pegawai kanan keselamatan AS mengunjungi Damsyik pada minggu terakhir Jun lalu.

“Delegasi mengadakan mesyuarat selama empat jam bersama Ali Mamluk, ketua perkhidmatan keselamatan Syria,” kata Al-Akhbar yang melaporkan pertemuan itu dibantu orang tengah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Russia.

Al-Akhbar berkata, Ketua Direktorat Keselamatan Umum Syria Mohammed Dib Zeitoun dan timbalan ketua turus kakitangan tentera Muwaffaq Asaad,menghadiri pertemuan itu namun tidak memberi nama ejen AS terbabit.

Pentagon dan Jabatan Negara tidak menjawab permohonan AFP untuk mengulas laporan itu.

Washington memutuskan hubungan dengan rejim Presiden Bashar al-Assad pada peringkat awal konflik maut yang meletus pada 2011 dengan kerajaan rejim menghapuskan bantahan secara meluas.

AS juga menyenarai hitam berpuluh pegawai kerajaan Syria termasuk Mamluk dan Zeitoun, atas dakwaan penderaan hak asasi manusia.

AS menyokong pembangkang Assad dari segi ketenteraan dan politik serta menjalankan serangan udara pada 2017 dan tahun ini ke atas infrastruktur tentera Syria sebagai tindak balas serangan kimia oleh rejim.

Tentera AS berada di lapangan di timur laut Syria bersama pasukan Kurdis sebagai sebahagian kempen menentang kumpulan Daesh.

Menurut Al-Akhbar, kehadiran tentera itu dibincangkan sebagai sebahagian satu perjanjian mungkin antara Damsyik dan Washington.

Delegasi AS dilaporkan menawar diri untuk mengundurkan tenteranya dari jajahan ditawan Kurdis jika tentera Iran berundur dari kawasan berhampiran sempadan selatan Syria dengan Israel serta jaminan ia diberi perkongsian minyak Syria dan jika Damsyik bersetuju berkongsi perisikan terhadap pejuang asing.

Menurut akhbar Lubnan itu, pegawai Syria mengatakan sebarang langkah itu masih terlalu awal namun bersetuju ‘untuk terus berkomunikasi menerusi saluran Russia-UAE.’

Dengan bantuan Russia, tentera Assad menawan hampir dua pertiga wilayah Syria dan bakinya oleh pasukan Kurdis disokong AS. -AFP

Berita Harian X