Khamis, 5 Julai 2018 | 8:17am
BANTAHAN penduduk Palestin meletus semalam di sebuah perkampungan Badwi di wilayah diduduki Tebing Barat yang berdepan perobohan Israel. - Foto EPA

35 cedera, penduduk Badwi bantah perobohan Israel

KHAN AL-AHMAR: Bantahan penduduk Palestin meletus semalam di sebuah perkampungan Badwi di wilayah diduduki Tebing Barat yang berdepan perobohan Israel dalam apa yang dikecam kumpulan hak asasi sebagai cubaan memperluaskan penempatan haram Yahudi.

Israel memindahkan tiga jentolak ke perkampungan di sini awal semalam, walaupun perobohan itu belum bermula, selepas tentera meninggalkan satu notis rampasan tanah kelmarin.

Kira-kira 180 penduduk Badwi, menternak biri-biri dan kambing, tinggal dalam pondok diperbuat daripada timah dan kayu di sini. Ia terletak antara penempatan haram utama Israel, Maale Adumim berhampiran Baitulmaqdis dan lebih kecil di timur laut, Kfar Adumim.

Perkampungan di sini dibina tanpa permit Israel, yang dikatakan penduduk Palestin mustahil untuk diperoleh. Israel sekian lama mahu membersihkan penduduk Badwi dari kawasan antara dua penempatan itu dan Mahkamah Agung meluluskan perobohan terbabit Mei lalu.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, mengusir penduduk Badwi akan mewujudkan kawasan penempatan lebih besar berhampiran Baitulmaqdis dan menjadikannya sukar buat Palestin mencapai wilayah bersempadan di Tebing Barat, kawasan dituntut mereka bersama Semenanjung Gaza untuk negara akan datang.

Di sini, berpuluh penduduk Palestin bertembung dengan polis Israel, yang menumbuk beberapa lelaki sambil diheret keluar.

Sebuah perkhidmatan ambulans Palestin berkata, 35 penunjuk perasaan cedera dan empat daripadanya dibawa ke hospital. Polis berkata, dua orang ditahan.

"Saya lahir di sini dan tidak akan berpindah ke tempat lain. Jika mereka memusnahkan perkampungan, kami akan membinanya semula di sini atau kawasan berhampiran," kata Feisal Abu Dahok, 45.

Israel berkata, ia bercadang memindahkan penduduk ke kawasan sejauh 12 kilometer dari situ, berhampiran perkampungan Palestin di Abu Dis.

Kawasan baharu itu bersebelahan tapak pelupusan sampah dan penyokong hak asasi berkata, satu pemindahan paksa penduduk melanggar undang-undang antarabangsa terpakai kepada wilayah diduduki.

Dalam satu taklimat berita di Geneva kelmarin, seorang jurucakap pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Liz Throssell, menyuarakan kebimbangan terhadap laporan perobohan yang bakal berlaku.

"Selama lebih sedekad, penduduk perkampungan Khan al-Ahmar menolak usaha memindahkan mereka untuk memberi laluan peluasan penempayan," kata Throssell.

Katanya, 'undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang pemusnahan atau rampasan hartanah persendirian oleh kuasa penjajah' merujuk Israel, yang menawan Tebing Barat dalam perang Asia Barat 1967. -Reuters

Berita Harian X