Rabu, 4 Julai 2018 | 7:21pm
KOREA Selatan dan Korea Utara, hari ini mengadakan pertandingan persahabatan bola keranjang di Pyongyang dalam usaha terkini diplomasi sukan antara kedua-dua negara jiran itu. - Foto AFP

Dua Korea anjur pertandingan bola keranjang persahabatan

SEOUL: Korea Selatan dan Korea Utara, hari ini mengadakan pertandingan persahabatan bola keranjang di Pyongyang dalam usaha terkini diplomasi sukan antara kedua-dua negara jiran itu.

Sekumpulan 50 pemain lelaki dan wanita dari Korea Selatan tiba di ibu kota Korea Utara semalam untuk pertandingan empat pusingan hari ini dan esok, yang dipersetujui pada sidang kemuncak antara Korea yang diadakan April lalu.

Delegasi Selatan diketuai Menteri Perpaduan, Cho Myoung-gyon, dalam lawatan pertama oleh pegawai Seoul sejak sidang kemuncak bersejarah antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump.

Dua pusingan pertandingan campuran lelaki dan perempuan diadakan hari ini dengan setiap kumpulan mengandungi pemain kedua-dua negara.

Cho dan rakan sejawatannya dari Korea Utara, Ri Son Gwon, menyaksikan pertandingan wanita yang bermula pada jam 3.30 petang waktu tempatan di Gimnasium Ryugyong Chung Ju-Yung yang mempunyai 12,000 kerusi.

Bola keranjang adalah sukan kegemaran Kim tetapi tidak hadir setakat ini.

Kerjasama dalam sukan membantu mencetuskan hubungan diplomatik antara kedua-dua Korea, yang secara tekniknya masih berperang, selepas Korea Utara menghantar delegasi dan atlit ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Seoul Februari lalu.

Lawatan Cho akan bertindih dengan kunjungan ke Pyongyang oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, yang ditugaskan mendapatkan butiran mengenai perjanjian pembatalan nuklear antara Kim dan Trump.

Tidak dapat dipastikan sama ada Cho akan bertemu dengan Kim atau Pompeo, kata Kementerian Perpaduan. - AFP

Berita Harian X