Rabu, 20 Jun 2018 | 12:51pm
KETUA Korea Utara, Kim Jong Un bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping di Beijing. - Foto AFP

Lawatan ketiga Jong-un ke China bukti kesetiaan Pyongyang

BEIJING: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengisytiharkan persahabatan, perpaduan dan kerjasama tidak berbelah bahagi bersama China menerusi lawatan ketiganya ke negara itu tahun ini, sekali gus membuktikan kesetiaan terhadap sekutunya itu selepas pertemuan bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Lawatan dua hari berakhir hari ini itu diadakan khas bagi meyakinkan Beijing bahawa Pyongyang tidak akan pernah meminggirkan mereka walaupun hubungan diplomatik mungkin telah termeterai bersama AS.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha Jong-un yang berusaha menyeimbangkan semua perkara membabitkan kepentingan China dan AS sambil pada masa sama, mengekalkan hubungan erat bersama Beijing, iaitu penaung Korea Utara dari aspek ekonomi serta pelindung dari sudut diplomatik.

China dan AS kedua-duanya berharap untuk melihat semenanjung Korea bebas dari penggunaan senjata nuklear namun Beijing khuatir Pyongyang serta Washington mungkin menjalinkan hubungan lebih rapat dalam diam, satu kemungkinan yang dilihat China sebagai ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan serantau.

China tidak hadir pada sidang kemuncak antara AS dan Korea Utara di Singapura 12 Jun lalu, namun Jong-un mengambil inisiatif untuk melawat negara itu, satu petunjuk jelas bahawa gergasi Asia berkenaan kekal sebagai satu kuasa berpengaruh dalam gerakan diplomatik.

Sekutu era Perang Dingin itu yang bekerjasama menentang pasukan AS dan Korea Selatan dalam Perang Korea 1050 - 1953 saling berusaha memperbaiki hubungan masing-masing selepas agak tegang susulan ujian nuklear oleh Pyongyang dan sokongan Beijing terhadap sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Jong-un memilih Beijing untuk melakukan lawatan rasmi pertama ke luar negara pada Mac lalu dan sekali lagi mengadakan pertemuan bersama Xi Jinping bulan berikutnya di bandar pelabuhan Dalian, barat laut China.

Agenda pertemuan Jong-un kali ini tidak didedahkan kepada umum dan wakil media melihat konvoi kenderaan meninggalkan rumah tamu Diaoyutai di Beijing, namun destinasi sebenarnya tidak diketahui. - AFP

Berita Harian X