Ahad, 17 Jun 2018 | 6:09pm
PERKAMPUNGAN di Tebing Barat Palestin. - Foto fail AFP
PERKAMPUNGAN di Tebing Barat Palestin. - Foto fail AFP

Polis cedera bertempur peneroka Yahudi

BAITULMAQDIS: Hampir berpuluh polis cedera selepas bertempur dengan peneroka Yahudi ketika cuba mengusir mereka dari pos kawalan di Tebing Barat yang diduduki, kata polis.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata 11 pegawai polis 'cedera ringan' semasa proses pengusiran membabitkan 10 bangunan di pos kawalan Tapuah Barat di utara Tebing Barat.

Mahkamah Agung Israel pada Februari 2017 memutuskan bahawa sebahagian daripada pos kawalan penempatan itu mesti dipindahkan sejak ia dibina di atas tanah persendirian Palestin.

Menurut Rosenfeld, enam penunjuk perasaan ditangkap.

Sebuah kumpulan aktivis undang-undang pro-peneroka, Honenu berkata 40 belia dipindahkan dari kawasan itu oleh polis dengan seorang daripadanya mengalami cedera ringan.

Rosenfeld berkata pengusiran dijangka berlangsung sepanjang hari.

Pada Selasa lalu, polis mengusir peneroka dari 15 rumah di sebuah pos yang berasingan di utara bandar Hebron di Tebing Barat yang dikatakan haram.

Semua penempatan Israel adalah tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa, namun Israel membezakan dengan yang diluluskan dan yang tidak. - AFP

Berita Harian X