Selasa, 12 Jun 2018 | 4:30pm

China cadang sekatan Korea Utara dilonggarkan

BEIJING: China mencadangkan supaya sekatan dilonggarkan ke atas Pyongyang selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berikrar untuk berusaha membebaskan semenanjung Korea dari senjata nuklear sepenuhnya.

China menandatangani sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang semakin luas ke atas jirannya selepas Pyongyang berulang-kali menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear.

Bagaimanapun, ia juga menyarankan supaya rundingan mencari penyelesaian politik turut dilakukan selepas sekatan dikenakan.

China adalah penyokong kuat Korea Utara dari segi ekonomi dan diplomatik meskipun tidak setuju dengan tindakan Pyongyang yang dianggap mencabar keselamatan serantau.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, menekankan Beijing sentiasa akur kepada semua resolusi PBB ke atas Korea Utara.

"China konsisten menyatakan bahawa sekatan tidak sepatutnya menjadi matlamat tunggal. Tindakan Majlis Keselamatan sepatutnya sejajar usaha membebaskan semenanjung Korea daripada senjata nuklear dan mempromosi penyelesaian politik."

Beijing mempunyai kepentingan strategik dalam soal Korea Utara dan diketahui risau akan tercemar jika berlaku konflik nuklear di semenanjung Korea selain kemungkinan kebanjiran pelarian ke wilayahnya. - Reuters

Berita Harian X