Selasa, 12 Jun 2018 | 12:46pm
KEPALA jerung yang disumbat dengan puntung rokok dan sampah sarap lautan, ditemui dicucuk pada pagar di pejabat pertubuhan penyelamat marin Australia. - Foto AFP

Kepala jerung ditemui di pejabat penyelamat marin

SYDNEY: Kepala jerung yang disumbat dengan puntung rokok dan sampah sarap lautan, ditemui dicucuk pada pagar di pejabat pertubuhan penyelamat marin Australia.

Penemuan mengerikan itu segera mengundang kritikan di media sosial.

Sukarelawan Penyelamat Marin New South Wales di Shellharbour, kira-kira 100 kilometer ke selatan Sydney, tiba untuk menjalankan tugas pagi kelmarin dan menemui kepala jerung mako itu.

Pengurus operasi wilayah, Bruce Mitchell, memberitahu ia adalah kali pertama beliau mendengar kejadian seumpama itu, menambah kepala itu kelihatan masih segar dan berkemungkinan ditangkap Sabtu lalu.

"Sesiapa yang menangkap jerung itu membawa ia balik ke bot dan membersihkannya, dan memotong kepalanya.

"Mungkin seseorang datang pada waktu malam, menemuinya dan mahukan sedikit keseronokan. Ia satu kemungkinan," kata Mitchell, menambah keseluruhan jerung itu seberat 70 kilogram.

Mitchell berkata, pertubuhan sukarelawan, yang membantu pekerja bot ketika kecemasan dan keadaan lain, tidak menerima sebarang ancaman dan tidak merujuk kejadian itu kepada polis.

Penyelamat Marin menyiarkan kepala itu di Facebook dan Twitter dan berkata kejadian berkenaan sebagai kekecewaan terbesar bagi sukarelawan komited yang memperuntukkan masa bagi menyelamatkan kehidupan air. - AFP

Berita Harian X