Selasa, 29 Mei 2018 | 9:14pm

Jangan percaya media sosial - polis India

NEW DELHI: Polis India, hari ini menggesa penduduk tidak mempercayai khabar angin di media sosial selepas mangsa keenam yang dituduh secara salah menjadi penyeludup kanak-kanak dibunuh orang ramai yang marah.

Seorang mak nyah dipukul dan tiga lagi cedera serius di Hyderabad hujung minggu lalu oleh orang ramai yang mengaitkan mereka dengan rangkaian eksploitasi kanak-kanak yang tidak wujud.

Pembunuhan mangsa berusia 52 tahun itu adalah yang keenam bulan ini di selatan India susulan khabar angin di media sosial mengenai kumpulan penculikan kanak-kanak, kata polis.

Lelaki berusia 42 tahun dipukul sehingga mati minggu lalu di daerah Nizamabad, kira-kira 160 kilometer dari Hyderabad, selepas orang ramai menuduh beliau sebagai penculik kanak-kanak.

"Tiada kumpulan penculikan di Hyderabad. Kami memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mencederakan sesiapa berdasarkan khabar angin di media sosial," kata Pesuruhjaya Polis bandar raya itu, Anjani Kumar.

Puluhan anggota polis dan penduduk tempatan berarak seluruh bandar raya itu pagi semalam dengan pembesar suara menggesa orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri.

Polis menahan 35 orang berkaitan kes pembunuhan mak nyah berkenaan Sabtu lalu.

Beliau meninggal dunia di hospital kelmarin. - AFP

Berita Harian X