Jumaat, 25 Mei 2018 | 2:16pm

Arab Saudi pintas peluru berpandu Yaman

RIYADH: Pertahanan udara Arab Saudi hari ini memintas sebuah peluru berpandu balistik di bandar Najran di selatan selepas dilancarkan dari kawasan dikuasai pemberontak di Yaman, kata tentera gabungan diketuai Arab Saudi.

Cebisan peluru berpandu itu bertaburan di kawasan kejiranan Najran namun tiada sebarang korban dilaporkan, kata jurucakap tentera gabungan, Turki al-Maliki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pemberontak Houthi Yaman mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu menerusi media rasmi Al-Masirah, mengatakan peluru berpandu Badr 1 mensasarkan Najran.

Semalam, sebuah peluru berpandu Houthi dipintas di Jizan selepas serangan serupa dilancarkan ke bandar di selatan itu Isnin lalu, menurut Maliki.

Riyadh menuduh musuh tradisinya Tehran membekalkan peluru berpandu balistik kepada Houthi, dakwaan yang dinafikan Iran.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutu lain campur tangan di Yaman sejak 2015 untuk menyingkirkan pemberontak sekali gus mengembalikan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa .

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), konflik itu mengakibatkan hampir 10,000 orang terbunuh dan lebih daripada 55,000 lagi cedera. - AFP

Berita Harian X