Selasa, 22 Mei 2018 | 7:01am
PENUNJUK perasaan Palestin membakar tayar di sempadan Gaza. - Foto AFP
PENUNJUK perasaan Palestin membakar tayar di sempadan Gaza. - Foto AFP

Undi siasat Gaza, Israel panggil 3 Duta Eropah

BAITULMAQDIS: Israel memanggil Duta Sepanyol, Slovenia dan Belgium berhubung undian mereka dalam sebuah badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa siasatan antarabangsa terhadap insiden tembakan ratusan penduduk Palestin di sempadan Gaza.

Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan semalam berkata, Duta Sepanyol dan Slovenia dipanggil semalam sementara wakil Belgium hadir hari ini.

Majlis Hak Asasi PBB (UNHCR) mengundi Jumaat lalu untuk menghantar pasukan penyiasat jenayah perang bagi menyiasat insiden tembakan membawa maut itu. Tiga negara Eropah berkenaan antara 29 yang mengundi menyokong siasatan.

Hanya dua daripada 47 anggota majlis iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Australia, mengundi menentang resolusi itu sementara 14 berkecuali termasuk Britain, Switzerland dan Jerman.

Teks resolusi itu berkata, pasukan penyiasat perlu 'menyiasat semua dakwaan pelanggaran dan penderaan dalam konteks serangan tentera terhadap bantahan awam besar-besaran bermula 30 Mac 2018 termasuk insiden bersamaan jenayah perang.'

Penduduk Palestin mula membantah di sempadan Gaza-Israel 30 Mac lalu untuk mendapatkan hak pulang ke rumah keluarga mereka yang dirampas atau diusir akibat perang 1948 ketika penjajahan penubuhan Israel.

Sekurang-kurangnya 118 rakyat Palestin ditembak tentera Israel sejak itu, menurut pihak berkuasa di Gaza, dikendalikan pergerakan Islam Hamas. Tiada seorang pun rakyat Israel cedera atau mati.

Bantahan memuncak 14 Mei lalu, pada hari AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke sini, dengan puluhan ribu membantah di sempadan, menjurus 62 kematian penduduk Palestin akibat ditembak Zionis dalam sehari. -AFP

Berita Harian X