Khamis, 3 Mei 2018 | 7:04pm

Jenayah rogol di India kian membimbangkan

NEW DELHI: Dua remaja yang dirogol beramai-ramai dalam dua kejadian berasingan di India dalam masa empat hari membuktikan jenayah itu tidak menunjukkan tanda berkurangan walaupun hukuman keras diperkenalkan bulan lalu.

Polis berkata, mereka tidak membuat sebarang tangkapan dalam kedua-dua kes.

Seorang mangsa ialah gadis berusia 16 tahun yang membunuh diri selepas dirogol lapan lelaki Ahad lalu di daerah Nuh di negeri Haryana, kata pegawai kanan polis, Nazneen Bhasin.

Kelmarin, wanita berusia 19 tahun dirogol lima lelaki termasuk pemandu beca bermotor yang dinaikinya di daerah lain negeri yang sama.

Pemandu berkenaan memperdaya mangsa mempercayai beliau terlepas bas dan menawarkan untuk menghantar wanita itu ke satu lagi depo bas, kata jurucakap polis, Ravindra Kumar.

Mangsa kemudian dibawa ke kawasan terpencil berhampiran bandar Gurugram dan dirogol pemandu berkenaan dan empat rakannya yang menunggu di situ, kata Kumar.

"Kes rogol beramai-ramai difailkan selepas pemeriksaan perubatan mangsa mengesahkan kejadian itu.

"Perkara ini kini dalam siasatan," kata Kumar.

Laporan media menyatakan, gadis berusia 16 tahun itu diculik dari rumahnya ketika bersendirian dan dirogol lelaki kampungnya.

Mangsa menggantung diri Isnin lalu dan polis memfailkan kes rogol, culik dan menggalakkan bunuh diri walaupun penjenayah belum ditangkap.

Kejadian berlaku tidak sampai sebulan selepas India meluluskan hukuman mati ke atas kesalahan merogol budak di bawah usia 12 tahun dan menambah hukuman penjara bagi jenayah rogol terhadap gadis atas 12 tahun dan wanita susulan kemarahan orang ramai berhubung kekejaman kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak Islam di Jammu & Kashmir. - Reuters

Berita Harian X