Selasa, 1 Mei 2018 | 1:05pm
MENTERI Luar Taiwan, Joseph Wu. - Foto AFP

Republik Dominica putus hubungan dengan Taiwan

TAIPEI/BEIJING : Republik Dominica memutuskan hubungan dengan Taiwan selepas hampir 80 tahun dan berubah haluan kepada China, satu lagi pergeseran diplomatik yang melanda pulau yang diperintah sendiri itu, menurut Beijing dan Taipei hari ini.

Berita bahawa negara di Carribbean itu bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan China mencetus kecaman kuat dari Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu.

Beliau berkata China menawarkan insentif kewangan bertujuan menarik sokongan Republik Dominica.

"Presiden Republik Dominica, Danilo Medina membelakangkan kerjasama yang sekian lama terjalin, impian rakyat Republik itu dan bantuan pembangunan yang sekian lama diberikan oleh Taiwan, semata-mata untuk menerima janji palsu pelaburan dan bantuan China," kata Wu dalam satu taklimat ringkas media.

Taiwan kini hanya menjalin hubungan rasmi dengan 19 negara, kebanyakannya negara miskin di Amerika Tengah dan Pasifik.

Diplomat tertinggi kerajaan China, Wang Yi, memberitahu wartawan bahawa dua negara itu kini akan bertukar duta.

"Keputusan yang penting oleh Republik Dominica ini bertepatan dengan kepentingan asas negara dan rakyatnya. Kami amat menghargainya," kata Wang. - Reuters

Berita Harian X