Ahad, 29 April 2018 | 3:22pm
RAJA Salman melancarkan pembinaan 'bandar raya hiburan' berhampiran ibu kota Arab Saudi. - Foto AFP

Raja Salman rasmi pembinaan taman hiburan

RIYADH: Raja Salman melancarkan pembinaan 'bandar raya hiburan' berhampiran ibu kota Arab Saudi, antara siri projek bernilai berbilion dolar bertujuan membantu negara itu mempelbagaikan sumber ekonominya.

Projek berkenaan adalah sebahagian pembaharuan dan program pelaburan dikenali sebagai 'Visi 2013', yang diilhamkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang turut menghadiri majlis pelancaran di tapak pembangunan itu petang kelmarin.

Pihak berkuasa menyifatkan projek di tapak seluas 334 kilometer persegi di Qiddiya, barat daya Riyadh, itu sebagai Disneyland versi Arab Saudi.

Dalam fasa pertama, yang termasuk teman tema mewah, kemudahan sukan bermotor dan kawasan safari, dijangka lengkap pada 2022, kata pegawai.

Mereka berharap, taman itu mampu menarik pelaburan asing dan 17 juta pengunjung menjelang 2030.

Arab Saudi, bulan ini menjadi hos tayangan filem pertama dalam masa 35 tahun, selepas menarik balik larangan pengharaman beberapa dekad ke atas pawagam tahun lalu.

Februari lalu, Pihak Berkuasa Hiburan Umum Arab Rabu, berkata ia akan menganjurkan lebih 5,000 pesta dan konsert pada 2018, dua kali ganda daripada jumlah tahun lalu dan menyalurkan sebanyak AS$64 bilion (RM250 bilion) ke dalam sektor dalam dekad akan datang.

Rakyat Arab Saudi, ketika ini memperuntukkan berbilion dolar setiap tahun untuk menonton filem dan mengunjungi taman hiburan di hab pelancongan negara jiran seperti Dubai dan Bahrain. - AFP

Berita Harian X