Rabu, 18 April 2018 | 6:58pm

Seoul mahu perjanjian damai kekal

SEOUL: Korea Selatan dijangka berunding untuk mengisytiharkan perang berakhir secara rasmi dengan Korea Utara dalam pertemuan antara kedua-dua negara minggu depan, kata seorang pegawai Seoul hari ini.

"Kami melihat kemungkinan menggantikan perjanjian gencatan di semenanjung Korea dengan perjanjian damai, namun kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian.

"Ia memerlukan perbincangan erat dengan pihak terbabit termasuk Korea Utara," kata seorang pegawai kanan di pejabat Presiden Korea Selatan, Blue House.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, persidangan antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In mungkin akan membincangkan perjanjian damai untuk menamatkan konflik kedua-dua negara secara rasmi.

Perang Korea pada 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan sahaja dan bukan perjanjian damai sehingga menyebabkan kedua-dua negara secara teknikalnya dalam keadaan berperang sehingga kini. Kedua-dua negara dipisahkan zon tanpa aktiviti ketenteraan yang penuh dengan periuk api dan kubu.

Bagaimanapun, usaha mencapai perjanjian damai muktamad mungkin mendatangkan kesan.

"Perjanjian damai adalah masalah amat sukar," kata profesor di University of North Korean Studies.

Difahamkan, Korea Selatan bukan salah satu pihak dalam perjanjian gencatan terdahulu selain Korea Utara, Pusat Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diterajui AS, China.

Selain itu, Pyongyang dan Seoul masing-masing menuntut kedaulatan ke atas seluruh wilayah semenanjung Korea dan perjanjian gencatan memerlukan kedua-dua saling negara mengiktiraf wilayah masing-masing.

Korea Utara mungkin menuntut pengunduran tentera AS, sementara penasihat keselamatan kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong hari ini berkata, Seoul dan Washington mahu Pyongyang meninggalkan cita-cita nuklearnya. - AFP

Berita Harian X