Sabtu, 7 April 2018 | 7:55am
PENUNJUK perasaan Palestin membawa mangsa yang cedera semasa pertempuran dengan rejim Israel berhampiran sempadan dengan Israel di timur Kota Gaza, Gaza. - Foto EPA
PENUNJUK perasaan Palestin membawa mangsa yang cedera semasa pertempuran dengan rejim Israel berhampiran sempadan dengan Israel di timur Kota Gaza, Gaza. - Foto EPA

7 penduduk Palestin maut dibunuh rejim Zionis

GAZA: Seramai tujuh penduduk Palestin maut dibunuh tentera Zionis dalam siri pertempuran terbaru di sepanjang sempadan Gaza semalam, seminggu selepas tunjuk perasaan besar-besaran sejak perang tercetus pada tahun 2014.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, 408 rakyat Palestin telah dibawa ke hospital dan pusat perubatan untuk rawatan manakala mangsa yang maut termasuk seorang remaja berusia 16 tahun.

Satu kenyataan dari Sindiket Wartawan Palestin pula berkata, sekurang-kurangnya enam wartawan turut cedera akibat ditembak dalam kejadian itu tetapi pihak tentera Israel gagal dihubungi untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

PENUNJUK perasaan Palestin semasa pertempuran dengan tentera Israel berhampiran sempadan dengan Israel, di timur Kota Gaza. - Foto EPA
PENUNJUK perasaan Palestin semasa pertempuran dengan tentera Israel berhampiran sempadan dengan Israel, di timur Kota Gaza. - Foto EPA

Rakyat Palestin yang merusuh dilihat membakar tayar dan melontar batu ke arah tentera Zionis di seberang pagar manakala rejim itu pula membalas dengan tembakan senjata api dan gas pemedih mata.

Ribuan penunjuk perasaan yang dianggarkan Israel mencecah 20,000 orang berhimpun di beberapa lokasi berhampiran timur sempadan Khan Yunis dan timur Bandar Gaza.

Jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding minggu lalu apabila puluhan ribu rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan hingga berlaku pertempuran dengan tentera Zionis dan meragut 16 nyawa.

Pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar menyokong tunjuk perasaan itu dan mengecam sekatan dibuat tentera Israel di Semenanjung Gaza. - AFP

Berita Harian X