Sabtu, 7 April 2018 | 12:26am

Empat penduduk Palestin maut

GAZA: Empat penduduk Palestin maut manakala beratus-ratus lagi cedera dalam pertempuran dengan askar rejim Zionis di sempadan Gaza-Israel semalam.

Kementerian kesihatan Palestin melaporkan, seramai 408 penduduk Palestin dibawa ke hospital dan pusat rawatan akibat cedera ditembak tentera Israel.

Kejadian terbaru itu menjadikan jumlah kematian penduduk Palestin dalam bantahan yang masuk hari ketujuh itu meningkat kepada 24 orang.

Bantahan itu diadakan oleh penduduk Palestin bagi mendesak tanah mereka yang dirampas rejim Zionis diserahkan kembali kepada mereka.

Jumlah penunjuk perasaan yang berhimpun pada hari ini lebih besar berbanding hari sebelumnya tetapi lebih rendah pada hari pertama bantahan.

Penunjuk perasaan membakar timbunan tayar untuk membentuk asap tebal bagi melindungi mereka daripada dilihat dari jauh oleh penembak tepat tentera Israel.

Israel menempatkan tenteranya di kawasan bukit di seberang sempadan dan mereka memasang kipas gergasi setinggi dua meter bagi menolak asap dari tayar yang dibakar. - Reuters

Berita Harian X