Khamis, 5 April 2018 | 7:43am
GAMBAR fail, tentera Houthi melancarkan peluru berpandu balistik pada 25 Mac yang dilaporkan dari ibukota Sanaa. - Foto AFP
GAMBAR fail, tentera Houthi melancarkan peluru berpandu balistik pada 25 Mac yang dilaporkan dari ibukota Sanaa. - Foto AFP

Arab Saudi pintas peluru berpandu sasar tangki minyak

RIYADH: Tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang melancarkan perang di Yaman, semalam berkata pertahanan udara Arab Saudi memintas peluru berpandu dibedil pemberontak Houthi ke arah tangki simpanan milik syarikat minyak negara itu, Aramco.

Serpihan bertaburan di kawasan penempatan apabila peluru berpandu itu, yang dilancarkan ke arah pelabuhan Jizan di barat daya Arab Saudi, dimusnahkan pada jam 9.30 malam waktu tempatan semalam tetapi tiada laporan kematian atau kerosakan diterima, kata jurucakap tentera pakatan, Kolonel Turki al-Malki.

Aramco, menerusi Twitter berkata semua kemudahannya di Jizan selamat dan beroperasi seperti biasa.

Ketegangan memuncak sejak beberapa hari lalu selepas pemberontak Houthi, yang mengawal hampir keseluruhan utara Yaman, melancarkan siri serangan peluru berpandu ke Arab Saudi yang berjaya dipintas.

Serpihan yang jatuh meragut satu nyawa di Riyadh, kematian pertama di ibu kota Arab Saudi itu akibat perang di Yaman.

Arab Saudi menuduh musuh utamanya, Iran, membekalkan peluru berpandu kepada Houthi, yang menawan bandar raya Sanaa dan beberapa bahagian negara itu.

Tehran dan Houthi menafikan dakwaan itu.

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu campur tangan menentang Houthi dalam perang di Yaman pada 2015 untuk membantu mendirikan semula kerajaan pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf antarabangsa. - Reuters

Berita Harian X