Isnin, 2 April 2018 | 6:57am
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un (kiri) melambai tangan bersama Menteri Kebudayaan Korea Selatan Do Jong-hwan semasa persembahan rombongan seni Korea Selatan di Panggung Besar Pyongyang Timur di Pyongyang, Korea Utara. - Foto EPA-EFE

Kim, isteri bergambar dengan artis K-pop

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, dan isteri, Ri Sol Ju, mengambil kesempatan bergambar dengan penyanyi K-pop yang membuat persembahan di negara berkenaan buat kali pertama dalam masa sedekad.

Persembahan diadakan ketika ketegangan kedua-dua Korea itu semakin kendur.

Beliau adalah antara ratusan penduduk di Pyongyang yang menyaksikan persembahan itu semalam.

Kim juga mencipta sejarah sebagai pemimpin Korea Utara pertama menghadiri persembahan artis Korea Selatan di ibu kota negara itu.

Kim dilihat bertepuk tangan ketika beberapa lagu dipersembahkan dan kemudian bergambar bersama-sama penyanyi selepas persembahan.

"Pemimpin kami berkata, beliau berbesar hati dan terharu dengan pandangan rakyatnya yang semakin memahami budaya popular Korea Selatan dan bersorak dengan ikhlas," lapor media negara itu.

Menteri Kebudayaan Korea Selatan, Do Jong-whan, memberitahu wartawan selepas pertunjukan itu bahawa Kim menunjukkan minat tinggi ketika persembahan dan bertanya soalan mengenai lagu dan lirik.

Konsert semalam diadakan dengan tajuk 'Musim Bunga sudah Tiba', di Teater Utara Pyongyang Timur, dengan kehadiran penyanyi veteran, Cho Yong-pil, Lee Sun-hee, bintang rock Yoon Do-hyun, penyanyi Baek Ji-young selain kumpulan penyanyi wanita, Red Velvet. - Reuters

Berita Harian X