Khamis, 8 Februari 2018 | 3:36pm
SERANGAN udara di bandar Arbin, Syria. - Foto AFP
SERANGAN udara di bandar Arbin, Syria. - Foto AFP

Lebih 100 militan pro rejim Syria terbunuh

WASHINGTON: Lebih 100 pejuang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad terbunuh selepas pakatan diterajui Amerika Syarikat (AS) dan militan disokong pakatan, menggagalkan serangan terancang besar-besaran lewat semalam sehingga awal pagi tadi, kata pegawai AS.

Jumlah kematian yang tinggi itu menunjukkan ia adalah serangan besar-besaran termasuk oleh kira-kira 500 militan yang bersenjatakan meriam artileri, kereta kebal, sistem pelancar roket berulang dan mortar.

Sumber yang enggan dikenali itu memaklumkan tiada tentera AS terbunuh atau cedera dalam insiden terbabit.

Bagaimanapun, sejumlah tentera AS digandingkan dengan militan pro rejim ketika serangan bersama Angkatan Demokratik Syria (SDF). Malah ibu pejabatnya di wilayah Deir al-Zor turut menjadi sasaran serangan.

Katanysa, seorang pejuang SDF cedera dalam insiden ini.

"Kami mengesyaki militan pro rejim cuba merampas kembali kawasan yang dibebaskan SDF daripada Daesh pada September 2017," kata pegawai itu.

Militan mungkin cuba merampas lapangan minyak di Khusham yang menjadi sumber pendapatan utama Daesh dari 2014 sehingga 2017.

Setakat ini tiada perincian mengenai militan yang melakukan serangan diperoleh dari pegawai rasmi AS atau pakatan disokong AS. Difahamkan, tentera Syria dibantu militan yang disokong Iran dan tentera Russia.

Pakatan diterajui AS sudah memaklumkan pegawai Russia mengenai kewujudan militan SDF di kawasan ini terlebih dulu sebelum serangan gagal, kata pegawai itu. - Reuters

Berita Harian X